-

-

Perasan tak ?

Perasan tak ?

Thursday, 17 September 2020

Taubat, bila lagi?



"Pelawak Abam Bocey meninggal dunia"

"Peserta Big Stage, Sandre Dianne meninggal dunia"

"3 sahabat maut, 1 kritikal lemas karbon monoksida "

"1 maut, 2 lagi parah kemalangan peserta konvoi motosikal"

MATI.
MATI.
MATI.


Tujahan demi tujahan berita yang masuk ke telinga. Diperingat berulang kali. Betullah mati itu pasti, tidak mengira usia, tidak lambat sesaat mahupun cepat sesaat. Bila tiba masanya, pasti akan datang.

Cukuplah keadaan sekeliling yang berlaku sekarang ini menjadi peringatan. Itu baru sedikit, tidak masuk lagi berita mereka yang dibunuh secara mengejut dengan pistol, yang disimen dalam tong drum, yang dikelar leher, yang dicincang lalu di buang ke merata tempat dagingnya, yang dibakar hidup hidup, yang kelemasan , yang diperkosa lalu dibunuh, yang diculik lalu dibunuh.

Sungguh, yang tidak rasa apa-apa itu hanya hati yang kosong, tiada tujuan.

Mati itu suatu KEPASTIAN, larilah ke celah bumi mana sekalipun, soroklah di bawah tanah sekalipun, binalah binaan sekukuh mana sekalipun, once nama kau diseru, kau akan MATI.

"Takpe, sekarang ini aku muda lagi, nanti bila aku dah tua aku taubatlah."

Inilah persepsi mereka yang suka menangguh taubat. Walhal sudah jelas dan terang lagi bersuluh berapa ramai bayi yang sudah meninggal, ada yang kerana tersedak susu, meninggal akibat didera, tak dikira lagi dengan anak muda yang meninggal akibat kemalangan jalan raya, digilis lori yang bawa muatan berat mahupun mati mengejut di dalam tidur. Ada yang muda muda lagi dah kena penyakit kanser. Tak kira lagi yang sengaja bunuh diri.

Bukankah itu suatu peringatan yang nyata? Bahawa usia itu bukan 'pengukur' sebenar kematian? Justeru, mengapa kau masih berlengah? Nak tunggu 'digilis' mak cik hidayah yang lebih dahsyat?

Kadang aku cemburu dengan yang matinya syahid. Yang pemergiannya sebenarnya 'menghidupkan'. Yang matinya dalam senyuman. Yang jenazahnya berbau wangi . Umat Islam di bumi Palestin, bumi Syria berjuang atas nama agama untuk syahid, sedangkan yang di pihak lawan itu mungkin lebihnya berjuang untuk 'hidup'. 

Kita di sini? Terus-terusan bersenang-lenang menghiraukan saudara seagama kita yang memerlukan bantuan nun jauh disana. Banyak harta tapi rasa amat payah dan berat untuk bersedekah. Pernah dengar? Sebaik-baik perbuatan sedekah itu bukan sahaja ketika kita banyak harta, tetapi ketika kita juga dalam kesempitan. Mungkin kalian lupa, Allah tidak akan terlepas pandang hatta kebaikan sebesar zarah sekalipun. Allah nak lihat niat dan usaha kita, dan natijah itu dari DIA. Jadi apa usaha kita dalam konteks ini? Tanya soalan itu dalam diri sendiri.

Duhai diri,

Bertaubatlah, sebelum terlambat. Umur yang semakin meningkat ini adalah petanda bahawa usia kita semakin singkat. Hatta kalau orang yang bertaubat pun belum tentu tahu sama ada taubatnya benar benar diterima atau tidak, inikan pula kita yang duk kumpul dosa banyak banyak, lalu berangan dah tua baru aku nak taubat.

Jika sekarang kau suka maki maki orang, berhentilah.
Jika sekarang kau sombong, jatuhkanlah benteng yang kau bina sendiri itu.
Jika kau berzina, kembalilah ikhtiar di jalan halal.
Jika kau makan duit haram?
Jika kau merompak?
Jika kau membunuh?
Jika kau dakwah namun niat ke laut?
Jika kau couple? Dan bersayang sayang?
Faham faham sendiri.
Sebab diri tahu sendiri.

Hidup adalah syarat kepada mati, bukan tua mahupun sakit. Bukankah kita sedang melalui kehidupan ini? Syarat untuk berjumpa kekasih abadi adalah mati, justeru kenapa harus takut?
Mungkin kerana amalan yang seciput. Cara kita meninggal, adalah bagaimana cara hidup kita sekarang.

Dan kau rasa, cara hidup kau sekarang Allah 'berkati' tak? Lagi sekali, hitunglah sendiri .

Husnul khotimah?
Atau suul khotimah?

Hidup mulia?
InsyaAllah meninggal juga dalam keadaan mulia .

Dan buat pendosa, bertaubatlah. Sedangkan helaan nafas masih berbunyi, dan usia juga masih berbaki. Jangan kalah buat kali kedua bila mana kau hilang pengharapan untuk kembali bertaubat kepada Allah SWT.

Taubat nasuha.
Taubat sesuci-sucinya.
Taubat sebenar-benar taubat.
Taubat yang telus tulus.
Dan InsyaAllah taubat yang diterima.

Bertaubatlah.
Terutamanya aku.

Friday, 6 March 2015

Betulkah Kita R E D H A ?



3 Mac 2015 - tarikh keramat bagi para pelajar lepasan SPM 2014 untuk mengambil hasil usaha bersungguh - sungguh mereka selama 2 tahun lamanya. 

Dari awal tingkatan 4 hinggalah hujung tahun tingkatan 5, subjek² teras dan subjek² pilihan telah dicerna di dalam otak mereka dan akhirnya 'dimuntahkan' kembali di dalam dewan peperiksaan.

Bagi saya, pelajar ni niat belajar dia ada 3 jenis.

Yang pertama, belajar kerana Allah.
Yang kedua,  belajar kerana exam semata-mata.
Yang ketiga, belajar kerana terpaksa.

Checklist diri kita, kita ni kategori niat nombor berapa?

Bagi sesetengah pelajar yang niat belajarnya hanya kerana Allah SWT, walaupun telah 'memuntahkan' segala isi yang dikumpul selama 2 tahun dalam dewan peperiksaan, tetapi hakikatnya mereka akan tetap mengingati apa yang mereka pelajari selama ini . Walaupun sudah tamat alam persekolahan, saya percaya ilmu yang mereka pelajari masih tetap akan lekat dalam minda mereka. Kerana niat mereka belajar adalah kerana Allah, bukan sewenang-wenangnya mereka boleh brainwash memori mereka walaupun selepas habis SPM.

Berbeza pula dengan pelajar di kategori kedua . Mereka lebih cenderung belajar kerana nak exam semata-mata. Mereka target nak hafal tu, nak hafal ni, nak khatam tu, nak khatam ni and then lepas dah habis 'memuntahkan' semuanya, mereka akan set minda mereka untuk lupa semuanya. Dalam kata lain, format ilmu² yang ada. Jadi tak hairanlah sekiranya cuti baru 2 bulan pun tapi kalau kita bagi soalan addmath tingkatan 4 bab 1 pun dah tak boleh nak jawab. 

Nauzubillahiminzalik. Moga kita dijauhkan oleh Allah daripada menjadi pelajar yang niatnya berada di kategori kedua.

Macam mana pula pelajar di kategori ketiga? Belajar kerana terpaksa . Macam mana tu?

Belajar kerana terpaksa ni biasanya terjadi pada pelajar yang takde minat nak belajar, takde minat nak pergi sekolah, takde minat nak menuntut ilmu tapi diorang terpaksa juga untuk melalui semua tu kerana dipaksa oleh ibu bapa ataupun guru² di sekolah. Bila wujudnya keadaan terpaksa dalam pembelajaran, maka wujudlah pelbagai masalah. Antaranya adalah melanggar displin sekolah seperti ponteng kelas, homework tak disiapkan, kerja kursus tak dilaksanakan dan lain-lain contoh spesifik yang rasanya kita semua pun tahu sebab kita juga pernah menjadi pelajar. Jadi, untuk pelajar kategori ketiga ni, berdasarkan apa yang saya nampak, mereka terlebih relax walaupun tahu akan menempuh satu peperiksaan dunia yang besar seperti PMR, PT3, SPM dan lain-lain. Walaupun peperiksaan nasional bukanlah pengakhir segalanya, tapi kita kenalah berusaha untuk kecapi kecemerlangan.

Seimbang kedua-duanya. Cemerlang dunia dan cemerlang akhirat.

Tapi kebanyakkan pelajar yang berada di kategori ketiga ini cenderung mempunyai sikap endah tak endah. Baca buku macam nak tak nak je, kadang² sampai satu tahap, ada yang tak penah buat revision langsung dan kemudian masuk ke dewan peperiksaan dengan selambanya. Kalau dia seorang pelajar yang selalu menumpukan perhatian dalam kelas serta dapat tangkap dengan cepat apa yang cikgu ajarkan (baca : cepat pick up) tak mengapa, tak kisah sangat tapi ni pulak sebaliknya. Dan mostly masa peperiksaan di dalam dewan tersebut dihabiskan begitu saja dengan membuat tahi mata.

Hampehh!

Jadi kembali kepada tajuk entri kita pada hari ini, betulkah kita REDHA ? 

Kenapa saya letak perkataan 'betulkah' dan bukannya 'adakah'

Kedua-dua perkataan ini membawa maksud yang berlainan sama sekali. Jadi, sebelum saya huraikan kenapa saya menggunakan perkataan 'betulkah' dan bukannya 'adakah', mari kita lihat dulu apa itu definisi REDHA.

Redha bermaksud menerima dengan rasa senang dengan apa yang diberikan oleh Allah SWT samada ia baik atau buruk, samada ia berupa hukum, qada' mahupun ketentuan daripada Allah SWT (baca 100x supaya anda faham apa itu redha) . 

Jadi, persoalannya kenapa saya guna perkataan 'betulkah' dan bukannya 'adakah' .

Jawapannya adalah kerana ia juga merujuk pada apa yang ingin saya sampaikan.

Kalau saya letak tajuk entri ini 'adakah kita redha ?', sememangnya ia merujuk bahawa saya ingin menujukan entri ini pada golongan manusia yang tidak kenal apa itu redha dan tidak pernah ingin redha supaya mereka belajar untuk redha apabila membaca entri yang bertajuk 'adakah aku redha ? '. 

Tetapi berbeza pula apabila saya meletakkan 'betulkah kita redha ?' Sebagai tajuk entri.  Ini menunjukkan bahawa sasaran pembaca saya bagi entri ini adalah untuk golongan yang MENGANGGAP MEREKA SUDAH REDHA TETAPI SEBENARNYA TIDAK. Dalam kata lain, redha itu hanya diucapkan di bibir dan bukannya di hati mereka.

Jadi, kebanyakkan yang saya lihat, mereka memang mengucapkan 'aku redha' tapi hakikatnya tindakan dan perasaan mereka betul² menunjukkan mereka masih belum redha. 

Contohnya, mereka dah berulang-ulang kali ulang ayat di bawah sebelum result keluar, kononnya lah :

"Walau apa pun yang aku dapat nanti, aku redha"

"Aku redha laa, dah usaha kan"

Itu ayat sebelum result keluar, cuba tengok pula apa yang jadi lepas result keluar :

"Aku rasa aku boleh buat tapi kenapa dapat teruk camni ? :'(" 

"Aku dapat banyak ni je ? Bodohnya aku"

"Penat aku qiambuku siang malam pagi petang, macam ni hasilnya. Kalau tau macam ni baik tak payah belajar"

"Kenapa result minah tu bagus padahal aku rasa aku lebih rajin dari dia"

"Aku tak percaya aku dapat seteruk ni.  Nak ulang kertas ni balik !!"

Mana ayat REDHA yang selalu korang sebut² selama ni ? Jadi nampak tak ? Ayat yang korang ucap tu menunjukkan korang masih belum redha ! 

Tapi ada juga manusia yang sikap 'tak redha' dia tu tak dizahirkan melalui kata² tapi ianya dizahirkan melalui perasaan dan air mata. 

I see some of them, selalu kata akan redha tapi lepas dah dapat tahu result, air mata mula mengalir. Kalau air mata gembira + terharu tak mengapa tapi ni air mata kuciwa + sedih sebab tak dapat result seperti yang diharapkan.

Tak dapat banggakan ibu bapa, tak dapat banggakan cikgu², rasa malu dengan jiran² yang bertalu-talu tanya result kita.

Jadi betulkah kita benar² REDHA dengan apa yang Allah telah takdirkan pada kita ? 

Ya atau tidak ?

Kalau ya anda redha, anda tak akan menangis ataupun merasa sedih walaupun result anda mengecewakan anda tahap KLCC sekalipun. Anda tak akan mempersoalkan kenapa itu dan kenapa ini. Anda juga akan merasa amat tenang sekiranya anda betul² redha dengan ketentuan Allah.

Lagipun SPM ini bukanlah pengakhiran segala-galanya. Dalam kata lain, gagal sekali tak bermakna gagal selama-lamanya.

Usaha lagi!

Allah tahu apa yang terbaik untuk kita kerana Dialah sebaik-baik perancang :')

Mungkin ada hikmah Dia bagi kegagalan pada kita kali ini.

Mana tahu esok² Dia nak hadiahkan sesuatu kejayaan pada kita ? 

Jadi jangan terlalu bersedih, sentiasa ingat Dia.

R e d h a bukan saja dalam SPM tapi biarlah dalam semua aspek.

Moga berjaya! 

Qawiyy lillahi taala ♡

- El Mustaqim -

p/s : peringatan untuk diri sendiri juga :')

Monday, 23 February 2015

Entah-entah Kita ...





Di malam yang serba indah,  ditemani gemerlipan bintang di angkasa.

Dihiasi dengan bunyi cengkerik di seluruh alam semesta.

Sambil berbaring di atas katil yang empuk lagi lembut, jenama Vono lah katakan.

Pernah tak kita tanya diri kita soalan terakhir sebelum melelapkan mata ? 

Soalan apa pulak malam² ni cik love (baca: miss cinta) ? Orang dah ngantuk, tak sabar nak tidur dah ni.

Cuba tanya pada diri sendiri, agak² malam ini maut milik siapa

Gulp!

Ehh apa miss cinta merepek tengah² malam ni ? Kita muda lagi, enjoy lah dulu!

*Tiba2 takde mood nak tidur, takut tak bangun dah esok*

Aishh.

Mati tidak mengira usia, tidak kira tua atau muda, setiap yang hidup pasti akan menghadapi sakaratul maut.

Jadi, bersedialah. Cuba tanya lagi dan terus bertanya.

Adakah ada lagi peluang untuk aku bernafas dan kembali hidup pada esok hari ?  

Menjalani kehidupan seharian dengan wassap, wechat, pesbuk, instageram, kicau mengicau dan belogsepot?! 

Ehh. 

Dan pada saat aku akan melelapkan mata sebentar lagi, adakah mata ini juga akan kembali terbuka keesokkannya ? 

Atau ...

Terkatup untuk selama-lamanya ?

Ini bukan soalan KEBAB (baca:KBAT), dan ini juga bukan soalan pititree (baca: PT3) .

Jawapannya tidak terdapat pada Kementerian Pelajaran tetapi sebaliknya Allah jualah yang mengetahui jawapan yang tepat bagi setiap soalan yang dikemukakan oleh diri kita sendiri.

Jadi muhasabah diri anda, 

Muhasarawak hati anda,

Dan muahahahaha sorang²

Ehh ? Maaf², mereng sebentar -,-

Back to the point, cermin balik diri sendiri.

Kebanyakkan masa yang telah Allah pinjamkan untuk kita di dunia ini kita gunakan sebaiknya atau tidak ? 

Adakah masa itu kita peruntukkan untuk melakukan ibadah kepadaNya ? 
Atau masa di dunia ini kita habiskan semata-mata untuk keseronokan yang hanya sementara ? 

Tumbuk dada kuat² dan tanya iman anda.

Sampai bila kita nak bagi alasan yang bermacam² bila disuruh bertaubat ? 

"Alaa.. aku muda lagi, enjoylah dulu"

"Alaa.. nanti² lah aku taubat"

"Alaa.. aku tak puas lagi laa nak berseronok"

Okay stop! Stop dengan perkataan 'Alaaa.. alaaa..' korang tu.

Mohon hadam ayat ni betul².

Allah berfirman dalam surah Al-Qiamah :

"Apakah manusia mengira bahawa Kami tidak akan mengumpulkan kembali tulang belulangnya ? Bahkan Kami mampu menyusun kembali jari-jemarinya dengan sempurna. Tetapi manusia hendak membuat maksiat terus-menerus. Dia bertanya : "bilakah hari Kiamat itu?" Maka apabila mata terbeliak ketakutan. Dan bulan pun telah hilang cahayanya. Lalu matahari dan bulan dikumpulkan. Pada hari itu, manusia berkata: "Ke mana tempat lari?" Tidak! Tidak ada tempat berlindung! Hanya kepada Tuhanmu tempat kembali pada hari itu"

[Al-Qiamah, ayat 3-12]


Jadi fikir-fikirkanlah.

Kita hidup di dunia tak lama.

Bahkan adakah 10 minit yang akan datang ni, kita masih hidup atau tidak, kita sendiri pun tak pasti. Tak dapat nak confirm !

Sebab ajal dan maut itu ketentuan Allah. Hanya Dia yang Maha Mengetahui segala sesuatu.

Kembalilah ... Kembali pada Tuhanmu.

Kerana kita tak tahu Malaikat Izrail akan ditugaskan untuk mencabut nyawa siapa pula selepas ini.

Entah-entah kita ... 

"Kafaa bilmauti waa-‘izhan - cukuplah kematian itu menjadi peringatan"

-El Mustaqim-

Tuesday, 10 February 2015

ISTIDRAJ Memakan Diri ...



Istidraj.

Tak ramai yang kenal istilah ni.

Tapi ramai yang dalam keadaan tak sedar telah mengalami istidraj.

Istidraj dari segi istilah adalah pemberian nikmat Allah kepada manusia yang mana pemberian itu tidak diredhaiNya. 

Rasullulah s.a.w pernah bersabda :

"Apabila kamu melihat bahawa Allah Taala memberikan nikmat kepada hambanya yang selalu membuat maksiat (durhaka), ketahuilah bahawa orang itu telah diistidrajkan oleh Allah SWT"

(Diriwayatkan oleh At-Tabrani, Ahmad dan Al-Baihaqi)

Dalam kehidupan sehari-harian kita, pernah juga ada yang bertanya

"Kenapa aku tengok dia tu tak pernah solat pun, puasa lagilah tidak, selalu pergi kelab malam tapi hidup senang, rumah mewah, kereta besar bla bla bla"

Pernah tak dengar dialog macam ni ? 

Mestilah pernah kan. Dan saya percaya mesti anda semua pernah jumpa orang yang memiliki ciri-ciri seperti di atas tu. 

Tak solat, tak puasa, tak keluar zakat, selalu bermaksiat tapi hidup senang dengan kereta besarnya, dengan rumah mewahnya, dengan pangkat besarnya dan lain-lain.

Kadang-kadang kita yang solat cukup ni pun, yang berpuasa wajib tambah sunat lagi, bertahajud tiap malam pun rasa jealous dengan orang yang sering bemaksiat tapi hidup senang.

Chuppp!

Istighfar. Astaghfirullah hal 'adzim.

Sepatutnya kita kena rasa bersyukur sebab Allah tak lalaikan kita dengan segala jenis nikmat tu.

Orang yang mengalami istidraj ni sebenarnya keliru. Mungkin pernah juga dia terfikir,

"Aku tak solat, tak puasa, selalu buat maksiat, tapi rezeki selalu melimpah, hidup senang. Allah sayang aku kot"

Pale hotak mung! 

Orang macam ni tak sedar yang sebenarnya nikmat yang Allah bagi dalam keadaan diri mereka itu berterusan melakukan dosa besar (baca: fasiq) hanya akan menjahanamkan lagi mereka, hanya akan terus menhanyutkan mereka dengan lebih jauh ke dalam lembah maksiat.

Manusia istidraj ni kita panggil manusia lupa daratan!

Mereka rasa Allah masih menyayangi mereka dalam keadaan mereka masih berbuat maksiat, masih meninggalkan perintahNya.

Kadang-kadang mereka juga merasa sombong dan takbur sehingga menghina manusia yang beramal soleh.

"Tengoklah dia tu, siang malam asyik pergi ke masjid, ibadat banyak tapi hidup susah, motor pun tak mampu nak beli. Tengoklah aku ni, selalu pergi ke kelab malam, tak beribadat pun tapi rezeki datang mencurah-curah. Kalau dia ibadat sikit macam aku, mesti dia pun kaya" 

Tetapi sebenarnya manusia istidraj ni tak sedar bahawa rezeki yang selalu dicurah-curahkan kepadanya itu hanya bertujuan untuk menghancurkannya!

Nauzubillahiminzalik.

Tetapi janganlah pula kata si Pak Haji yang datang masjid dengan kereta lamborghini tu istidraj. Janganlah kata orang naik pangkat itu istidraj. Janganlah kata orang-orang besar itu istidraj.

Jangan! Jangan! Jangan! 

Bukan macam tu. *geleng kepala*

Orang kaya yang menggunakan nikmatnya, rezekinya, hartanya ke jalan kebaikan, ke jalan Allah bukanlah orang yang istidraj.

Dan janganlah pula kita tidak mahu kekayaan. Tak semua kekayaan itu adalah istidraj. Ada kekayaan yang diredhai Allah SWT.

Hidup kita di dunia ni mestilah ada pegangan. Bukan kaya yang kita cari, juga bukan miskin yang kita cari.

Tujuan hidup kita adalah mencari keredhaan Allah. 

Bagaimana cara untuk menentukan nikmat yang diredhai Allah? 

Seseorang itu dapat menyedari hakikat bahawa nikmat yang diberikan kepadanya itu adalah nikmat yang diredhai Allah apabila dia mensyukuri nikmat yang diberikan itu. Dia akan mengunakan pemberian ke jalan kebaikan dan sentiasa redha dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Maka segala limpah kurnia yang diperolehi itu adalah nikmat pemberian yang diredhai Allah. 

Bila tujuan hidup kita untuk mencari keredhaan Allah, nescaya selamatlah kita di dunia wa akhirat.

Jadi tepuk dada, tanya iman.

Pernahkah kita mengalami istidraj ? 

Jika pernah, segeralah bertaubat. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.

-El Mustaqim-